(Telah pulang Syaaban ke sarang
andai nafas hidup masih bertiup
bisakah lagi melihatnya terbang
sesudah dua belas pusingan bulan itu berulang.)
Di ambang pintu barakah
Ramadan mengetuk bertalu-talu
beribu rahmat Tuhan sedang menunggu
bergerak mengiringi Ramadan al-Mubarak
berarak masuk ke teratak syarak
dengan rembesan kasih jernih
beribu magfirah Tuhan ditagih
berdaki dosa mahu di bersih.
Pada setiap kali Ramadan bertandang
pada dinding kenangan
aku teringat kampung halaman
begitu ramah tetangga sebelah-menyebelah
bertukar aneka juadah dan sedekah
menyemai erat ikatan ukhuwah.
Menjelang sungkai di tabir senja
berderai azan Maghrib sayup berkumandang
berkumpul keluarga menjamu selera
mesra riuh bukan kepalang
memecah hening lembayung petang
ibu dan kakak sibuk menghidang
ayah meneguk air secawan
kadang selasih selalunya sirap pisang
kemudian menyala rokok sebatang
buat mengisi perut tak kenyang
ibu memerhati marah di hati
seiring leteran tali-temali
ayah berpura tidak peduli
aku memerhati tidak mengerti.
Menjelang malam di masjid dan musala
saf jemaah penuh luar biasa
mengimarahkan Tarawih dan tadarus bergenta
pulangnya nanti di tepian jalan
singgah di gerai dan warung berjualan
harumnya bau ikan selar dibakar
dan udang sotong cecah cili merah
perut petang tadinya kenyang
kosong semula membuka ruang
untuk diisi dengan makanan
udang sotong itulah bekalan bertahan
untuk puasa esoknya sepanjang siang.
Seperti selalu Ramadan bertandang dan berlalu
berlalu jua kenangan Ramadanku
pada kampung halaman yang kutinggalkan
kini aku kembara di hutan batu
Ramadanku sepi bagaikan bisu
tiada lagi seindah dulu
tiada lagi leteran ibu
tiada lagi kepuraan ayahku
tiada tetangga bertolong-bantu
tetangga bagaikan sembunyi
tak kenal rupa tak kenal pekerti
jauh sekali bertukar juadah dan rezeki
aku tambah tidak mengerti.
(Akan berangkat pulanglah Ramadan ke sarang
andai nafas hidup masih bertiup
bisakah lagi melihatnya terbang
sesudah dua belas pusingan bulan itu berulang.)
BASRI ABDILLAH
DBP, Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment